oleh: ustazjeff

 “Allah telah mengangkat orang-orang yang beriman daripada kalangan kam dan begitu pula dengan orang-orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat”
Surah al-Mujadalah:11
 “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan dalam segala urusannya”

Surah at-Thalaq:4

 “Sesiapa yang inginkan kebahagiaan di dunia mestilah dengan ilmu, sesiapa yang inginkan kebahagiaan di akhirat mestilah dengan ilmu dan sesiapa yang inginkan kebahagiaan dunia dan akhirat mestilah dengan ilmu”

Al-Hadis

|KLIK DAN BACA| 

"Pendidikan ialah penyumbang utama Pembangunan modal sosial dan ekonomi negara. Pendidikan juga merupakan pencetus kreativiti dan penjana inovasi yang melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja dan menjadi pengupaya perkembangan ekonomi keseluruhannya."

|KLIK & BACA| 

"Pentaksiran Berasaskan Sekolah atau singkatannya PBS ialah satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif, afektif dan psikomotor selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan kurikulum kebangsaan Malaysia." 
Ia memainkan peranan penting bagi tujuan melahirkan murid-murid yang seimbang dalam pelbagai aspek.

|KLIK & BACA| 

BUKU MMI 1
 
 BUKU MMI 2
  
MMI merupakan salah satu komponen fungsi pemimpin instruksional dalam menjayakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara berkesan di sekolah. Komponen ini juga perlu diberi perhatian bagi Membangunkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani serta mengasah potensi murid menjadi kritis, kreatif, dan inovatif. Malah, kejayaan melaksanakan fungsi ini dapat memperkasakan sekolah, memantapkan pengurusan guru dan menghasilkan murid yang cemerlang serta mempunyai sahsiah yang mulia. 

 
CATATAN 3

Kepentingan peranan guru itu memang tidak dapat dinafikan kerana boleh dikatakan setiap ahli masyarakat pada zaman moden ini melalui pendidikan yang diberikan oleh guru. Tidak ketinggalan juga guru yang mengajar dalam Pendidikan Islam. Guru Pendidikan Islam perlu melaksanakan tugas yang sama seperti mana guru lain dalam mendidik para pelajar, tanggungjawab kepada rakan sejawat, masyarakat dan negara. Maka menyampaikan ilmu secara sukarela dan ikhlas semata-mata kerana Allah merupakan jihad yang paling tinggi pada pandangan Islam seperti mana yang dituntut dalam syariat Islam, firman-Nya yang bermaksud:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”.
(Surah al-Nahl, 16: 125)

Guru Pendidikan Islam memainkan peranan penting dalam pengajaran Pendidikan Islam. Mereka (GPI) bukan sahaja berperanan untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar malah bertanggungjawab untuk meningkatkan penguasaan dan penghayatan ilmu pelajar. Mereka harus mendorong sikap dan tingkah laku pelajar ke arah kebaikan melalui pendekatan yang berhikmah. 
Kualiti sebagai murabbi harus dihayati dan diamalkan oleh Guru Pendidikan Islam dalam mendepani ragam pelajar pada abad ini. Ianya bertujuan untuk membentuk generasi muslim yang holistik dan seimbang dari segi rohani, emosi, intelek dan jasmani. GPI yang unggul memerlukannya untuk menghayati ciri-ciri seorang murabbi iaitu satu pakej kualiti guru yang bersandar kepada al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. 

Hal ini bersesuaian dengan matlamat Pendidikan Islam itu sendiri yang antaranya mengangkat martabat al-Quran dan Sunnah sebagai tunjang dalam pembelajaran sepanjang hayat bagi mendapatkan ilmu, kemahiran dan penghayatan. GPI yang berperanan sebagai murabbi bukan sahaja mengajar, bahkan mempunyai gandaan tugas yang lebih berat iaitu memastikan kejayaan murid dalam akademik, sahsiah mahupun rohani. 

CATATAN 2

Islam merupakan suatu sistem hidup yang quddus, boleh menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Ia merangkumi seluruh sistem hidup yang berasaskan aqidah, syariah dan akhlak. Mengimbang antara moral dan material bagi mencapai kesempurnaan yang sebanar. Konsep aqidah, syariah dan akhlak dalam Islam itu sendiri merupakan acuan pembentukan yang unggul, tepat dan sesuai bagi membentuk personaliti yang kamil untuk menghasilkan manusia yang baik dan sempurna dalam masyarakat. Dari sifat kesempurnaan itu, melayakkan mereka untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Dengan kata lain agama Islam yang merangkumi aspek aqidah, syariah dan akhlak itu merupakan suatu struktur kurikulum yang quddus bersifat rabbani. Ia meerupakan suatu alat yang amat berkesan, bagi melahirkan individu dan masyarakat muslim yang bertaqwa dan sempurna dalam sebarang aspek kehidupan bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Bagi mencapai tujuan, kurikulum pendidikan Islam adalah amat mustahak, kerana ianya merupakan suatu pembentukan yang unik dan unggul kepada pelajar-pelajar.

CATATAN 1

Menurut al-Ghazali, tujuan pendidikan yang unggul ialah keselarasannya dengan objektif kejadian manusia iaitu penguasaan ilmu tentang Allah. Ilmu sedemikian meliputi ilmu tentang pencipta dan ciptaan-Nya termasuk alam semesta, roh, keadaan-keadaan yang berlaku selepas mati dan sebagainya. Lanjutan dari matlamat ini ialah penghampiran diri manusia dengan allah, kerana penghampiran diri kepada Allah itu mustahil kecuali melalui ilmu. 

Mohd. Attiah al-Ibrashi menyatakan bahawa tujuan pendidikan Islam ialah bertaqarrub kepada Allah, bukan untuk menjadi pemimpin bermegah-megah dan berlumba-lumba. Beliau juga menyatakan bahawa tujuan pendidikan menurut Ibnu Khaldun adalah seperti berikut:

“Sebenarnya pendidikan Islam mempunyai dua tujuan, iaitu tujuan keagamaan, maksudnya beramal untuk akhirat sehingga seseorang itu menemui Tuhanya setelah selesai menunaikan hak-hak Allah yang diwajibkan ke atasnya. Kedua, tujuan ilmiah yang bersifat keduniaan, iaitu apa yang diungkapkan oleh pendidikan moden dengan tujuan kemunafaatan atau persediaan untuk hidup.”


Menurut Sobri Salamon dan Haron Din, tujuan pendidikan Islam ialah mendidik akhlak dan jiwa anak-anak, menanam rasa keutamaan, membiasakan mereka dengan kesopanan yang juga mempersiapkan mereka untuk satu kehidupan yang suci, ikhlas dan jujur. Islam mementingkan agama dan duniawi. Kedua-dua lapangan dunia dan akhirat perlu disepadukan. Keagamaan, akhlak dan kerohanian merupakan tiga perkara yang diutamakan Islam.

Dalam Pendidikan Islam, menanam keimanan dengan mendalam melalui berbagai-bagai cara merupakan fungsi utama dan harus diutamakan. Pendidikan Islam turut mempersediakan seseorang dalam membuat persiapan untuk hidup di dunia dan akhirat. Kebahagiaan sebenar bersumberkan dari rasa keimanan yang teguh kerana iman seorang Muslim berdasarkan kepada hidup didunia dan akhirat dan penentuan kebahagiaan di akhirat adalah bergantung kepada amalan-amalannya sewaktu di dunia ini.


Hassan Langgulung, pula menyatakan bahawa matlamat pendidikan Islam dikategorikan kepada tiga iaitu tujuan am, tujuan khas dan tujuan akhir. Apabila digunakan dalam kurikulum, ketiga-tiga peringkat ini mencakupi aspek tertentu pada tujuan tersebut. Peringkat-peringkat tujuannya adalah seperti berikut:

  1. Murid-murid akan menguasai prinsip-prinsip ilmu tersebut (tujuan khas)
  2. Murid-murid akan sanggup berfikir secara kritis (tujuan am)
  3. Murid-murid akan mencapai perwujudan diri (tujuan akhir)
Kesimpulanya, tujuan pendidikan Islam adalah untuk membina warganegara Muslim yang baik dan sempurna, bertakwa, berakhlak mulia serta sihat jasmaninya, berilmu pengetahuan serta mempunyai kemahiran supaya dapat bertanggungjawab terhadap agama, diri, keluarga, bangsa dan masyarakat dengan penuh kesedaran dan keikhlasan untuk mencapai kebahagiaan sebenar samada di dunia atau di akhirat nanti.
 
 





 
 
 
untitle1