oleh: ustazjeff
   Rumah      PROGRAM PENDIDIK / PELAJAR
 

"SEE YOU DI IPT"

9 Oktober 2015 (Jumaat) - Dengan kepercayaan bahawa pelajar cemerlang perlu diberi motivasi dan sokongan supaya terus mengekalkan kecemerlangan dan seterusnya mempertingkatkan kecemerlangan hingga ke peringkat yang lebih tinggi, Sektor Pendidikan Islam JPWPKL telah mengadakan Program See You Di IPT (CUDIPT) - Seminar Skor A 1223 SPM 2015. Program ini telah diadakan dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 9 Oktober 2015.
Tujuan utama dijalankan program ini adalah utuk menambah kefahaman pelajar tentang teknik dan strategi menjawab serta format soalan Pendidikan Islam (Kod 1223) peperiksaan SPM dan seterusnya meningkatkan kualiti dan kuantiti pencapaian gred cemerlang. Program ini juga diharap dapat memberi inspirasi dan pengalaman baru kepada pelajar rutin sebagai seorang mahasiswa dan suasana di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Program ini telah dihadiri oleh seramai 170 orang pelajar dimana dua orang pelajar mewakili sekolah yang dipilih (sebanyak 85 buah sekolah). Sasaran peserta adalah pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2015 dan mendapat gred Kepujian (B+, B) di dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun Tingkatan 5. Dengan kerjasama Pelajar UPNM , Jurulatih Utama Negeri dan pegawai-pegawai JPWPKL, program ini telah melibatkan seramai 220 orang. Aktiviti dijalankan di Dewan Pendekar, Dewan Bestari dan sekitar UPNM.

Aktiviti yang dijalankan seawal pagi bermula jam 7 pagi (selepas sarapan) dengan aktiviti LDK (orientasi) dan Kembara Al Fateh oleh pelajar-pelajar UPNM . Selepas itu, pada jam 10 pagi, peserta mengikuti bengkel Teknik menjawab Kertas 1223 Pendidikan Islam. Selepas Solat Jumaat bersama warga UPNM pelajar mengikuti slot motivasi bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UPNM. Pengisian slot ini lebih kepada persediaan peserta menjelang peperiksaan dan kata-kata semangat kepada pelajar dalam menghadapi peperiksaan dan kehidupan sebagai seorang bakal siswazah. 

Pihak SPI khususnya JK Kurikulum Pendidikan Islam berharap keberhasilan dan impak kepada program ini ;

1. Pelajar dapat mengaplkasikan teknik yang betul ketika menjawab soalan khususnya bagi soalan-soalan beraras tinggi khususnya soalan KBAT; 2. Program ini dapat meningkatkan peratus pencapian Gred Cemerlang (A+, A dan A-) dalam Pendidikan Islam; 3.Pelajar akan lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan SPM; Amalan, penghayatan nilai, disiplin dan komitmen yang tinggi di kalangan pelajar dalam menjalankan kehidupan sebagai seorang pelajar; 4. Pelajar dapat membuat keputusan yang tepat dalam memilih istitusi pendidikan dan bidang pengajian yang ditawarkan di peringkat universiti.

Program yang di adakan selama sehari ini berakhir pada jam 4.30 petang dan perasmian penutup dilancarkan oleh tuan Timbalan Naib Canselor (HEPA) sendiri. Semoga dengan semangat yang ada pada pelajar sepanjang program dijalankan ini dapat menjadi sumber inspirasi dan motivasi ke arah mencapai  kejayaan pada masa hadapan.

- www.ustazjeff.com
 

IJTIMAK MUNAJAT KECEMERLANGAN PELAJAR PT3, SPM DAN STPM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR 2015

30 September 2015 (Rabu) - Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWP) telah mengadakan program Ijtimak Munajat Kecemerlangan Pelajar PT3, SPM dan STPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Program yang diadakan setiap tahun ini telah diadakan di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju Kuala Lumpur. 

Program ini telah dihadiri oleh seramai lebih kurang 700 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan Tiga, Lima (SPM) dan Enam (STPM) yang melibatkan 97 buah sekolah menengah di Kuala Lumpur. Setiap sekolah juga diwakili oleh dua orang guru sebagai pengiring pelajar. Keseluruhan program telah melibatkan seramai hampir 1000 orang termasuk jemputan dan ahli jawattankuasa yang bertugas.

Sebelum program dijalankan, jawatan kuasa pengelola telah mengadakan mesyuarat kordinasi sebanyak dua kali iaitu pada 11 dan 28 September. Mesyuarat ini diadakan bagi tujuan agihan tugas penyelarasan kerja agar program yang dirancang dapat dijalankan dengan lancar. Mesyuarat yang diadakan telah di pengerusikan oleh Ketua Unit Pengurusan Pendidikan Islam selaku wakil Pengerusi jawatan kuasa pengelola.


Matlamat utama dijalankan program ini adalah bertujuan memohon doa kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan kepada pelajar yang telah menjalani Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) dan yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM disamping memantapkan sahsiah dan keimanan mereka sebagai seorang pelajar yang cemerlang dan anak yang soleh.

Bermula jam 10 pagi, pelajar telah mula mendaftar, solat sunat tahiyyatul masjid dan jamuan (makan tengahari) sebelum program sebenar bermula pada jam 12 tengahari. Program dimulakan dengan cermah motivasi oleh penceramah yang dijemput dari Universiti Sains Islam Malaysia dan disambung dengan ucapan dan kata-kata semangat dari Timbalan Pengarah Pendidikan JPWPKL Puan Hjh Asiah Hussin. Selepas Solat Zuhor berjemaah, pelajar bersama-sama mendirikan solat sunat hajat dan bacaan Yaasin. Program ijtimak ini tamat lebih kurang pada jam 2.30 petang

Antara justifikasi keperluan diadakan program ini adalah sebagai kemuncak di mana didapati setiap tahun kebanyakan sekolah menganjurkan program Solat hajat dan Bacaan Yaasin apabila menjelang peperiksaan. Oleh itu adalah wajar supaya satu program induk dan gabungan diadakan diperingkat negeri. Pelaksanaan secara bersepadu ini akan menampakkan kesungguhan dan pembabitan banyak pihak disamping menyatu mdan mengeratkan lagi hubungan serta persefahaman di antara JPWPKL, masjid, sekolah, ibu bapa, guru-guru, pelajar dan lain-lain agensi.

Pihak jawatankuasa pengelola khususnya Sektor Pendidikan Islam amat mengharapkan keberhasilan dan impak melalui program ini iaitu;

1. pelajar dapat menjalankan praktikal kerohanian hasil proses P&P yang dilakukan oleh guru di dalam kelas akademik dan amali Pendidikan Islam di sekolah seperti amalan berdoa, berzikir, membaca yaasin, solat wajib dan sunat secara langsung; 2. sebagai transformasi jiwa dan minda agar pelajar lebih yakin kepada pertolongan Allah, kepercayaan kepada qada dan qadar, lebih pintar, berakhlak mulia, berwawasan dan meningkankan usaha dan istiqamah dalam menegrjakan sesuatu urusan dan pekerjaan; 3. Membentuk kumpulan masyarakat yang terdiri daripada warga JPWPKL, JK masjid, guru-guru, ibu bapa dan pelajar yang sentiasa bekerjasama, mengembeleng tenaga dan bersatu padu dalam menjayakan aspirasi pendidikan Negara.


Walaupun dalam keadaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditimpa fenomena jerebu dan cuaca yang tidak menentu sepanjang bulan September dan Oktober ini. Alhamdulillah, pada hari program ijtimak ini dijalankan, indeks IPU (jerebu) tidak menunjukan aras merbahaya dan program dapat dijalankan dengan jayanya dibantu oleh ahli jawatankuasa yang dilantik. semoga program yang baik ini akan dapat dijalankan setiap tahun. 

- www.ustazjeff.com